It's me

It's me

Monday 16 April 2012

Sekeping Hati




Wahai hati, usah kau menangis lagi. Usah biarkan dirimu terluka lagi dengan mengingati kisah yang telah berlalu. Usaplah air jernih yang mengalir dibalik jiwamu. Usah diingat lagi perkara yang telah berlalu.
Ternyata semalam bukan keinginanmu. Apatah lagi ia bukan pintamu. Bersabarlah wahai hati, kerana apa yang telah terjadi adalah ujian dariNya. Semalam itu merupakan ketentuan Yang Maha Esa, tidak dapat tidak untuk kau menolaknya. Usah kau tangkis ujian yang mendatang, kerana ia sekadar suatu percubaan yang perlu kau tempuhi.

Wahai hati, redha dan tabahlah dengan ketentuan Illahi. Meskipun ia sungguh menyeksakan batinmu. Sungguhpun ia menikam-nikam ragamu. Kau harus tahu, itu ujian buatmu. Kau harus percaya bahawa DIA terlalu tahu yang terbaik buatmu. Kerana DIA serba tahu bahawa semalam mu itu untuk membantumu. Membantumu agar kau lebih bersedia menempuhi hari-hari mendatang.

Wahai hati, pintalah kekuatan daripadaNya. Kerana sesungguhnya kau terlalu lemah. Sudah-sudahlah kau merintih sedih, kerana ia tidak menjanjikan apa-apa. Seharusnya kau bersujud, beristigfar serta berzikir demi merawat sedih dan pilu sekeping hatimu itu. Kau harus bangun, berdiri dan berjalan untuk melalui lorong-lorong  sepi dan penuh tragis yang kau andaikan itu.

Bertabahlah. Kerana ALLAH sedang BERBICARA tentang SABAR dan IKHLAS kepadamu. Teruskan langkahmu. Berjalanlah tanpa henti, dengan menjadikan semalammu itu sebagai satu rahmat buatmu. Biarpun semalammu itu KURANG INDAH. KERANA sesungguhnya, hanya DIA mengetahui tentang segala sesuatu. Kerana di situ mungkin terungkap sebuah rahsia yang tidak kau tahu kebahagiaan disebaliknya.


No comments:

Post a Comment