Setiap kali hati ini tergerak untuk menukilkan sesuatu, pasti aku diburu rasa resah. Bagiku, bukan mudah untuk mencoretkan sesuatu tanpa mempunyai isi yang kuat. Kerana tidak dapat tidak, aku bertekad mulai menulis bukan untuk sia-sia. Aku juga menulis bukan kerna nama, aku menulis sekadar menginginkan supaya ada sesuatu yang mampu aku kongsikan kepada ramai.
Jari jemari ini terkadang seakan kaku untuk menekan-nekan keyboard saat minda tidak mendapat capaian buah fikiran. Terlalu sering juga aku merasa kecewa andai tidak dapat menulis dengan baik. Entah. Adakah ini jalan sebenar kehidupanku? Untuk mendambakan hidup menyusun ayat demi menceritakan sesuatu yang bermanfaat? Kiranya, bila wujud keinginan untuk menulis sebegini? Aku? Aku sendiri masih tertanya. Dari mana datangnya ilham untuk memulai 'kerjaya' baru ku ini. Jawapan yang kucari akhirnya aku temui. Alhamdulillah. Segalanya dari DIA. Dari Tuhan Yang Satu. Dari Tuhan Sekelian Alam. ALLAH SWT. Tanpa ragu, segala ilham, buah fikiran dan kemahuan ini datangnya dari DIA.
Suatu ketika dulu, saat aku menginjak usia remaja, aku gemar membaca karya-karya seni. bagiku, aku seolah 'bernyawa' saat membaca cerita dan garapan buah fikiran bernas yang berseni dari insan istimewa, iaitu pengkarya seni penulisan. Secara separa sedar, sebenarnya aku mulai minat dalam bidang penulisan. Namun, tidak pernah kusuarakan tentang kecenderungan minat ini kepada sesiapa pada waktu itu. Aneh bukan? Bagiku, ia sekadar minat yang bercambah. tapi tidak pula kupandang berat akan minatku itu. Bagiku, cukup sekadar menjadi hobi sampingan.
Kini, tanpa kusedari, suatu yang kuminat itulah yang aku terlalu inginkan lakukan. Sesal? Tidak. Aku percaya andai lakaran takdir tertulis untuk aku menjadi seorang penulis, suatu masa nanti ia pasti akan menjadi kenyataan. Ya. AKu pasti. Kerana itu janji Tuhan Yang Maha Esa. Dia telah mempersiapkan jalan penghidupan setiap dari kita.
Tahun 2000 adalah permulaan kembara aku dalam mengagumi karya kesusasteraan melayu. Tambahan pula aku merupakan kelompok pertama yang mengunakan medium Kesusasteraan dalam pembelajaran di peringat sekolah menengah. Masya Allah, tak tergambar bagaimana rupa untuk belajar menghabisi membaca hasil karya garapan para sasterawan. Alhamdulillah, aku mampu membiasakan diri. Novel pertama sewaktu berada di tingkatan satu, Anak Din Biola, dari situ aku mula tahu aku sudah jatuh cinta pada karya seni penulisan!
Rentetan dari itu, aku mulai gemar membaca, tidak seperti ketika di zaman persekolahan, sekolah rendah dahulu.
Cinta aku pada seni penulisan mulai bercambah saat mendengar kembali pengalaman pahit jerih kehidupan orang tua ku. Waktu itu, aku menanam azam agar suatu hari nanti aku bisa menulis untuk mereka. Aku ingin mengabadikan kisah mereka agar menjadi ingatan bagi kami semua. Malah aku mahu kongsikan agar menjadi sumber kekuatan dalam kehidupan di dunia.
Rupanya minat dan kecenderunganku tak pernah 'tidur'. Sentiasa segar dan memekar seakan mawar merah. Jika tidak menulis panjang, pasti ada saja coretan yang kulayangkan di dalam cebisan buku tulis sekolah tahun-tahun yang sudah. Aku aku senang untuk mencoret di mana-mana buku yang kurasakan sesuai. Sesuka hati dan tak mengira waktu. Ya. Kerana saat ilham itu tiba, aku harus pantas mencatat. Agar tidak aku terlupa akannya.
Saat mulai menulis, aku sedar. Aku seolah berada di ruang lingkup rekaan aku sendiri. Seolah aku 'hidup' di alam bayangan yang ku reka sendiri. Aku menginginkan agar pembaca juga mampu merasa seolah 'hidup' di dalam ruang penceritaanku. Atau cukup sekadar pembaca seakan sedang menonton sebuah sikuel panjang yang tiada gangguan insan lain. Jika benar semua penulis mampu merasa sebegitu, maka aku yakin aku masih di paras normal di kalangan masyarakat. Alhamdulillah. Saat menulis juga aku rela menahan kantuk, supaya tidak hilang ilham yang datang. Supaya tiap bait ceritanyanya kemas tersusun penuh tertib mengikut aturan.
(source: Google.com)
Hari ini, aku mulai menulis di bolg aku sendiri. Cita-cita dan cinta itu tak pernah surut. Masih marak di dalam jiwa. Aku mahu meneruskan impian aku yang terlalu pelbagai itu. Menyudahi pembelajaran, mahu menjadi pendidik demi agama dan anak bangsa, mahu bergelar usahawan, mahu bergelar penulis dan mahu bergelar aktivisi kemanusiaan. Segalanya aku mahu. Malah, dia semakin bercambah dan segar perlaha-lahan. Ku mohon padaMu Ya Allah, agar kau tetapkan hati ini agar istiqamah selalu.