It's me

It's me

Sunday 10 June 2012

YaNg BeRnaMa KeNaNgaN..

Apa itu kenangan? dan ada apa pula dengan kenangan? Kenangan itu suatu perkara mahupun suatu peristiwa yang sudah berlalu, atau sudah menjadi perkara lepas. Ia tidak dapat disamakan definisinya dengan sejarah kerana sejarah mempunyai fakta lengkap seperti catatan waktu yang tepat serta peristiwa yang terjadi. Lalu ada apa pula dengan kenangan??


Kenangan itu terlalu mahal, tak dapat dibayar waima dengan jutaan ringgit mahu pun segunung emas. Sebenarnya kenangan itu yang sering mendewasakan kita. Kenangan itu yang mengajar kita. Dan kenangan itu sendiri yang sering sangat berada dalam kotak fikiran kita. Dan mungkin kenangan itu akan kita ingati untuk sepanjang hayat, sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Ada juga yang kata kenangan itu selalu melekat di hati. Macam hempudu lekat di hati. Terlalu rapat sampai terlalu susah untuk dipisahkan. Terpulang kepada individu masing-masing. Yang sebenarnya bagaimana tanggapan kita terhadap K.E.N.A.N.G.A.N adalah berdasarkan cara kita berfikir. Sama ada mahukan ia dikenang sebagai pengajaran atau mahu menyimpan dan melipatnya dengan kemas sebagai 'hidup'.

Ada juga yang berkata sesetengah orang sanggup hidup dalam kenangan sepanjang hayatnya. Maksud di sini adalah, ada sesetengah orang rela menghabiskan hidupnya semata untuk suatu kenangan yang baginya terlalu indah di dalam hayatnya. Umpama William Shakespears, hidupnya seolah-olah hanya diabadikan untuk berkarya dan seolah-olah hanya hidup dalam dunia khayalan rekaannya semata. Bahagiakah jika hidup begini? Hidup terpuruk dalam ruang lingkup ciptaan sendiri. Seakan tidak menghargai 'keindahan' dunia realiti di luar sana.

Terkadang aku bertanya sendiri, apakah selesa hidup begitu? Apakah indah dan bahagia menikmati kehidupan yang serba 'terpenjara' begitu? Mengapa ada yang memilih untuk hidup begitu? Kecewakah dia? Atau merasa yang hidupnya sering ditimpa malang? Ahh.. sukar mentafsirkan. 

Jujurnya, aku sendiri pernah di dalam dilemma. Mahu hidup dalam kenangan merentasi masa berharga sehingga ia berlalu pergi atau mahu hidup dengan kenangan tapi masih melalui atau merentasi demensi waktu yang mendatang. Ada perbezaanya. Pening dengan pernyataan ini? Ada beza diantara keduanya. Hidup dalam kenangan merentasi masa berharga, sehingga ia berlalu pergi bererti memilih jalan hidup atau 'hidup' hanya dalam kenangan sehingga melepaskan peluang indah yang sebenarnya ada terbentang indah untuk dirinya di luar sana.

Atau, yang kedua iaitu mahu hidup dengan kenangan tapi masih merentasi demensi waktu yang mendatang. Maksudnya, melalui perjalanan hidup berbekalkan kenangan semalam sebagai panduan bagi merentasi demensi waktu yang mendatang. Di mana, masih meneruskan kehidupan dengan melalui seribu satu keindahan hidup, dengan menjadikan kenangan sebagai satu batu sempadan yang dijadikan sebagai pengajaran.

Terasa ia sukar untuk difahami? Ambil ini sebagai contoh. Kisah seorang gadis yang kematian bakal suaminya. Kehilangan insan yang dicintai membuatkan dia takut kehilangan memori yang terindah dalam hidupnya. Dia bimbang sekiranya dia akan terlupa semuanya tentang kekasih hatinya. Jadi, dia merelakan dirinya terperangkap dalam kenangan silamnya. Rugikah gadis itu kerana mensia-siakan waktu? Atau dia sekadar memerlukan sedikit lagi waktu demi merawat 'kehilangannya'? Atau dia perlukan pengganti yang mampu memceriakan hidupnya kembali?? Kenyataannya hati dan pendirian manusia itu sukar diduga. Ada ketikanya seakan kita boleh mentafsirkannya, ada ketika pula ianya terlalu rumit untuk ditelah bagi merungkainya. 


Hakikat sebenarnya apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai kepercayaan kita sebagai seorang muslim akan salah satu cabang di dalam Rukun Iman, iaitu Percaya dengan qada' dan qadar. Sebagai hambaNya, kita seharusnya berpegang teguh kepada kekuasaan ALLAH. Tidak dapat lagi dinafikan bahawa ALLAH itu Maha Besar, Hebat dan Teragung. Setiap yang direncanakan olehnya adalah sebaik-baik rencana. Sekiranya kita terlupa mahupun terlepas pandang, ingatlah kembali akan Rukun Islam dan Rukun Iman bagi menguatkan hati.


Didiklah hati agar selalu redha akan ketentuan ILLAHI agar hati kita akan sentiasa tenang dan tabah dalam melalui jalan-jalan yang beronar dan berduri.Berhati-hatilah, Ingat ALLAH sentiasa. Mohon padanya agar dipnjamkan kekuatan, agar hati tadi mampu mengucapkan syukur tanda berterima kasih atas setiap nikmat yang telah dipinjamkan olehNya. Mohon juga agar hati selalu tabah, sabar, ikhlas dan redha akan ketentuan yang telah dicatatkan olehNya untuk kita. Bersabarlah, kerana apa yang pasti ALLAH tidak akan membebani hambanya melainkan dengan kesanggupannya, Surah al Baqarah ayat 286.


Maka, bukalah hati dan buka minda untuk pandang dari sudut yang positif dan tenangkan hati bahawa tiap apa yang terjadi adalah Qada' dan Qadar ALLAH. Dan jadikan kenangan itu hanya sebagai kenangan, tapi bukan sebagai 'jalan kehidupan'. Biarkan ia mengalir pergi seiring waktu beredar, agar hati tidak lagi tersakiti. Pandang kehadapan dan teruskan langkahmu, biar perlahan setapak demi setapak, asalkan tidak ia terkaku dan terhenti di situ.


Nota kaki: Teringat ayat yang sering sahabat saya ungkapkan 'Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merajuklah hati'. Sabarlah hati, hidup itu perlu diteruskan selagi nafas masih terhela.



No comments:

Post a Comment