Wahai hati, usah kau menangis lagi. Usah biarkan dirimu
terluka lagi dengan mengingati kisah yang telah berlalu. Usaplah air jernih
yang mengalir dibalik jiwamu. Usah diingat lagi perkara yang telah berlalu.
Ternyata semalam bukan keinginanmu. Apatah lagi ia bukan
pintamu. Bersabarlah wahai hati, kerana apa yang telah terjadi adalah ujian
dariNya. Semalam itu merupakan ketentuan Yang Maha Esa, tidak dapat tidak untuk
kau menolaknya. Usah kau tangkis ujian yang mendatang, kerana ia sekadar suatu
percubaan yang perlu kau tempuhi.
Wahai hati, redha dan tabahlah dengan ketentuan Illahi.
Meskipun ia sungguh menyeksakan batinmu. Sungguhpun ia menikam-nikam ragamu.
Kau harus tahu, itu ujian buatmu. Kau harus percaya bahawa DIA terlalu tahu
yang terbaik buatmu. Kerana DIA serba tahu bahawa semalam mu itu untuk
membantumu. Membantumu agar kau lebih bersedia menempuhi hari-hari mendatang.
Wahai hati, pintalah kekuatan daripadaNya. Kerana
sesungguhnya kau terlalu lemah. Sudah-sudahlah kau merintih sedih, kerana ia
tidak menjanjikan apa-apa. Seharusnya kau bersujud, beristigfar serta berzikir
demi merawat sedih dan pilu sekeping hatimu itu. Kau harus bangun, berdiri dan
berjalan untuk melalui lorong-lorong sepi dan penuh tragis yang kau andaikan itu.
Bertabahlah. Kerana ALLAH sedang BERBICARA tentang SABAR dan IKHLAS kepadamu. Teruskan langkahmu. Berjalanlah tanpa henti, dengan menjadikan semalammu itu sebagai satu rahmat buatmu. Biarpun semalammu itu KURANG INDAH. KERANA sesungguhnya, hanya DIA mengetahui tentang segala sesuatu. Kerana di situ mungkin terungkap sebuah rahsia yang tidak kau tahu kebahagiaan disebaliknya.
No comments:
Post a Comment