It's me

It's me

Wednesday 22 May 2013

Kisah minatku

Alhamdulillah.. Bertemu lagi kita untuk kali ini.

Setiap kali hati ini tergerak untuk menukilkan sesuatu, pasti aku diburu rasa resah. Bagiku, bukan mudah untuk mencoretkan sesuatu tanpa mempunyai isi yang kuat. Kerana tidak dapat tidak, aku bertekad mulai menulis bukan untuk sia-sia. Aku juga menulis bukan kerna nama, aku menulis sekadar menginginkan supaya ada sesuatu yang mampu aku kongsikan kepada ramai.

Jari jemari ini terkadang seakan kaku untuk menekan-nekan keyboard saat minda tidak mendapat capaian buah fikiran. Terlalu sering juga aku merasa kecewa andai tidak dapat menulis dengan baik. Entah. Adakah ini jalan sebenar kehidupanku? Untuk mendambakan hidup menyusun ayat demi menceritakan sesuatu yang bermanfaat? Kiranya, bila wujud keinginan untuk menulis sebegini? Aku? Aku sendiri masih tertanya. Dari mana datangnya ilham untuk memulai 'kerjaya' baru ku ini. Jawapan yang kucari akhirnya aku temui. Alhamdulillah. Segalanya dari DIA. Dari Tuhan Yang Satu. Dari Tuhan Sekelian Alam. ALLAH SWT. Tanpa ragu, segala ilham, buah fikiran dan kemahuan ini datangnya dari DIA.

Suatu ketika dulu, saat aku menginjak usia remaja, aku gemar membaca karya-karya seni. bagiku, aku seolah 'bernyawa' saat membaca cerita dan garapan buah fikiran bernas yang berseni dari insan istimewa, iaitu pengkarya seni penulisan. Secara separa sedar, sebenarnya aku mulai minat dalam bidang penulisan. Namun, tidak pernah kusuarakan tentang kecenderungan minat ini kepada sesiapa pada waktu itu. Aneh bukan? Bagiku, ia sekadar minat yang bercambah. tapi tidak pula kupandang berat akan minatku itu. Bagiku, cukup sekadar menjadi hobi sampingan. 

Kini, tanpa kusedari, suatu yang kuminat itulah yang aku terlalu inginkan lakukan. Sesal? Tidak. Aku percaya andai lakaran takdir tertulis untuk aku menjadi seorang penulis, suatu masa nanti ia pasti akan menjadi kenyataan. Ya. AKu pasti. Kerana itu janji Tuhan Yang Maha Esa. Dia telah mempersiapkan jalan penghidupan setiap dari kita.

Tahun 2000 adalah permulaan kembara aku dalam mengagumi karya kesusasteraan melayu. Tambahan pula aku merupakan kelompok pertama yang mengunakan medium Kesusasteraan dalam pembelajaran di peringat sekolah menengah. Masya Allah, tak tergambar bagaimana rupa untuk belajar menghabisi membaca hasil karya garapan para sasterawan. Alhamdulillah, aku mampu membiasakan diri. Novel pertama sewaktu berada di tingkatan satu, Anak Din Biola, dari situ aku mula tahu aku sudah jatuh cinta pada karya seni penulisan!

Rentetan dari itu, aku mulai gemar membaca, tidak seperti ketika di zaman persekolahan, sekolah rendah dahulu.

Cinta aku pada seni penulisan mulai bercambah saat mendengar kembali pengalaman pahit jerih kehidupan orang tua ku. Waktu itu, aku menanam azam agar suatu hari nanti aku bisa menulis untuk mereka. Aku ingin mengabadikan kisah mereka agar menjadi ingatan bagi kami semua. Malah aku mahu kongsikan agar menjadi sumber kekuatan dalam kehidupan di dunia.

Rupanya minat dan kecenderunganku tak pernah 'tidur'. Sentiasa segar dan memekar seakan mawar merah. Jika tidak menulis panjang, pasti ada saja coretan yang kulayangkan di dalam cebisan buku tulis sekolah tahun-tahun yang sudah. Aku aku senang untuk mencoret di mana-mana buku yang kurasakan sesuai. Sesuka hati dan tak mengira waktu. Ya. Kerana saat ilham itu tiba, aku harus pantas mencatat. Agar tidak aku terlupa akannya.

Saat mulai menulis, aku sedar. Aku seolah berada di ruang lingkup rekaan aku sendiri. Seolah aku 'hidup' di alam bayangan yang ku reka sendiri. Aku menginginkan agar pembaca juga mampu merasa seolah 'hidup' di dalam ruang penceritaanku. Atau cukup sekadar pembaca seakan sedang menonton sebuah sikuel panjang yang tiada gangguan insan lain. Jika benar semua penulis mampu merasa sebegitu, maka aku yakin aku masih di paras normal di kalangan masyarakat. Alhamdulillah. Saat menulis juga aku rela menahan kantuk, supaya tidak hilang ilham yang datang. Supaya tiap bait ceritanyanya kemas tersusun penuh tertib mengikut aturan.

(source: Google.com)

Hari ini, aku mulai menulis di bolg aku sendiri. Cita-cita dan cinta itu tak pernah surut. Masih marak di dalam jiwa. Aku mahu meneruskan impian aku yang terlalu pelbagai itu. Menyudahi pembelajaran, mahu menjadi pendidik demi agama dan anak bangsa, mahu bergelar usahawan, mahu bergelar penulis dan mahu bergelar aktivisi kemanusiaan. Segalanya aku mahu. Malah, dia semakin bercambah dan segar perlaha-lahan. Ku mohon padaMu Ya Allah, agar kau tetapkan hati ini agar istiqamah selalu.




Monday 20 May 2013

SPECIAL DEDICATION TO MY MOM

Alhamdulillah..

Syukur ke hadrat Illahi dengan limpah kurniaNya dan izinNya dapat kita sama-sama meneruskan kehidupan di dunia ini.

Umum mengetahui, bahawa bulan Mei penuh dengan pelbagai acara dan hari keraian. Termasuk Hari Ibu, Hari Guru, Hari Jururawat dan Hari di mana peperiksaan dijalankan.

Okay, banyak argument berkenaan sambutan Hari Ibu di mana pada asalnya merupakan sejarah tentang majlis sambutan bagi orang-orang yang beragama Kristian. Akan tetapi, ada juga pendapat yang menyatakan tiada salahnya sekiranya hanya mahu mengekspresikan perasaan dan perhargaan buat Ibu/Mama/Ummi/Mak/Bonda/ Mummy dan panggilan yang lain selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Dan bagi saya pula, saya turut berlapang dada, selagi sambutan itu tidak diluar dari garisan yang telah ditentukan oleh Syara'. Apa pun penghargaan buat Ibu Bapa/ Guru dan laian-lain sewajarnya diingati setiap hari. Dan bukan hanya apabila tiba waktu-waktu tertentu sahaja.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana telah ditakdirkan oleh Allah SWT kerana diputerikan oleh pasangan Allahyarham Samean Bin Sulaiman dan Kasminah Binti Kamal. Sebuah keluarga yang cukup bahagia dan tersangat bahagia. Alhamdulillah. Terima Kasih Allah. Terima kasih Mak dan Abah.

Baik, sekarang saya akan menceritakan sedikit mengenai Ibu saya. Atau yang mesra saya panggil Mak. Tetapi ada juga masa-masanya saya sengaja memanggil mak dengan panggilan lain. Kadang-kadang ada juga saya panggil Mummy, Ummi, Ibu and etc. Hehe sengaja. Tak kisahlah yang penting itu Bonda saya!

Bonda saya diputerikan pada 17 Desimber 1947, di Rengit, Batu Pahat Johor. Anak perempuan tunggal dari empat orang beradik bagi pasangan Allahyarham Kamal Bin Sulaiman dan Allahyarhamah Halimah Binti Hashim. Diputerikan dengan berdarah campuran (India + Jawa) dari sebelah ibunya dan (Belanda + Jawa) disebelah ayahandanya. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Perpat dan kemudian, saat menginjak ke usia 17 tahun beliau telah disunting untuk menjadi isteri.

Melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, pasangan ini telah dikurniakan putera dan puteri seramai 13 orang.  Akan tetapi, salah seorang dari puterinya telah meninggal dunia ketika berusia 8 bulan kerana mengalami masalah cardiovascular. Sehingga kini seramai 6 orang putera dan 6 orang puteri masih berkesempatan menemani Bonda tercinta.

Bertubuh kecil molek, berkulit sawo matang dan wajah yang jelas berkacukan India membuat beliau tampak lain dari yang lain. Beliau berpersonaliti menarik yang cukup murah dengan senyuman. Malah sifat lembut, bersopan santun dan penyabar sering membuatkan orang disekelilingnya senang. Beliau juga seorang yang mudah untuk tersenyum, seorang yang agak pendiam dan berbicara hanya apabila perlu.

Bonda saya merupakan seorang wanita melayu tipikal di mana beliau berpendapat seseorang wanita itu seharusnya menguasai kemahiran memasak, mengemas/ mengurus rumahtangga dan pandai menjahit pakaian dengan sebaik mungkin. Akan tetapi saya adalah anak perempuannya yang tidak pandai menjahit pakaian langsung. Mak seakan kurang senang, namun, beliau memahami bahawa tidak semua anak-anaknya mempunyai minat dan kecenderungan sama seperti dirinya.

Bonda saya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak, walaupun memberi nasihat dengan cara berhemah, namun, beliau tetap tegas di dalam menasihati anak-anak. kebiasaannya Mak tidak akan memberi leteran kosong yang sekadar mengekspersikan perasaan kurang senang dengan gelagat dan kenakalan anak-anak. Beliau lebih senang menasihati sekaligus mengaitkan setiap nasihat dengan hukum hakam dalam Islam yang pasti mampu membuatkan air mata mengalir disebabkan kedegilan dan keterlaluan yang telah dilakukan.

Mendidik dan mengasuh seramai 12 orang anak bukan perkara mudah, namun pendekatan yang sering saya sendiri lihat adalah arwah Abah dan Mak rajin menunaikan solat di sepertiga malam. Dan saya yakin, mereka sepakat berbuat sedemikian demi menyerah serta meletakkan kebergantungan mereka hanya kepada Allah SWT agar mereka kuat dan mampu mentarbiah anak-anak sebaik mungkin. Antara lain adalah arwah Abah sering mementingkan waktu kualiti bersama keluarga. Terutamanya ketika makan malam dan waktu bersolat berjemaah sekiranya kami sekeluarga berkesempatan menunaikan bersama-sama.

Saya paling gembira andai dapat bersolat bersama awrah abah. Dan dalam waktu saya sama agak gugup andai abah mengajar mengaji. kerana bagi pendapat saya Arwah Abah lebih garang berbanding dengan Mak. Hmm tapi oleh kerana ketegasan Arwah Abah lah saya menjadi 'Insan' seperti hari ini.

Alhamdulillah, tanpa disedari Mak seolah-olah menjadi Ikon Ibu contoh di kampung saya. Masyarakat di kampung seringkali kagum dengan keluarga kami dan kebijaksanaan mak dan Arwah Abah dalam mendidik kami semua. Alhamdulillah kami semua berjaya menempa kehidupan masing-masing dengan baik. Hampir keseluruhan keluarga kami berjaya menjadi siawa/i. Dan selebihnya berpendidikan sehingga tahap STPM. Dan Alhamdulillah antara kami ada yang menjawat jawatan dalam sektor awam dan swasta. Sehingga ke hari ini hanya tinggal saya sahaja yang masih dalam pengajian. In Shaa Allah, penghujung tahun ini saya bakal menamatkan pengajian.

Terkadang merasa diri ini masih membebankan kelaurga, teutamanya Mak, akan tetapi saya hanya berserah diri dan beranggapan bahawa ini adalah rezeki. Dalam diam mak melahirkan perasaan senang kerana saya menyambung pengajian hingga ke tahap sekarang. Alhamdulillah, semoga Allah terus melimpahkan rezeki yang berkat kepada kami sekeluarga dan kepada semua. Ammeenn.

Bonda saya juga merupakan orang kuat dan individu yang sangat saya sanjungi dan kasihi. Tiada insan lain seistimewa Mak. Tiada galang gantinya. Ibu yang setia menemani dikala saya membuat ulang kaji. menyoal andai ada markah yang tertulis dengan pena dakwat merah, dan sering menyoal prestasi di sekolah dan Universiti. Ibu pendokong utama. Malah saat ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, saya menunggu restu dari mak sebelum menghantar borong permohonan. Bagi saya, restu seorang ibu tidak boleh dinafikan dan dipandang enteng. Alhamdulillah berkat doa restu dari beliau, saya masih 'gagah' dalam menjalani perjalananan kehidupan yang penuh berliku.

Bonda saya seorang yang berjiwa kental dan penyabar. Menjadi anak yatim seawal usia 4 tahun dan meneruskan kehidupan dengan 1001 kepayahan dimana kesenangan yang diwarisi dari Allahyarham Ayahnandanya dirampas sewenangnya dari individu yang tidak bertanggungjawab dan yang terlalu taksub dengan kemewahan dunia. Namun, alhamdulillah. Allah menggantikan kesenangan Bonda dengan cara yang lain. Nikmat anak-anak yang ramai, kesihatan yang baik dan banyak lagi. Alhamdulillah.

Dikesempatan ini, saya ingin merangkapkan beratus juta penghargaan buat bonda saya, terima kasih mak! Di atas segala pengorbanan mak pada kami semua. Dan tiada apa yang boleh diperkatakan melainkan mengharapkan Syurga tertinggi sebagai balasan kepada setiap kebaikan, kesabaran dan ketaqwaanmu wahai ibuku. Ya Allah semoga Kau kurniakan Syurga tertinggi Buat Bonda dan Ayahandaku, haramkan bagi mereka untuk dijerumuskan ke dalam Neraka dan hindari mereka dari fitnah dunia, dan fitnah kubur. Ameenn..

Mak, i love you so much! Doakan kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan buat anak-anakmu di dunia dan di Akhirat. Doakan juga supaya Anak mu ini beroleh jodoh yang soleh sebagai teman dan sahabat di dunia dan di syurga nanti. Terima kasih mak! Sayannng mak sangat-sangat.






(foto dirakamkan ketika bercuti awal 2013 yang lalu)