Tuesday 16 October 2012

DIARI 15 JUNE 2012


credit to: hijabkanmuslimah.blogspot.com

Bukan mudah mahu melupakan seseorang yang disayangi dan dicintai. Malah mungkin mustahil untuk melupakannya. Mungkin benar, andai terlalu mencintai, hingga satu saat kita rela melepaskan dirinya andai itu yang terbaik buat dirinya. Namun, apa yang pasti, cinta itu tetap akan segar dan utuh di balik sanubari ini. Dan cinta itu tetap mekar hingga saat ini. 

Sungguh, bertambah pedih andai perpisahan itu dengan cara yang baik. Mungkin halangan dari keluarga hanya sebagai alasan takdir bagi meleraikan hubungan yang tak pasti ini. Puas kupujuk hati ini agar merelakan, namun sebenarnya aku masih mengharap agar semuanya akan menjadi baik dan aku dapat bersamanya lagi. Namun aku sedar, takdir sedang mengalir pergi. Dan mungkin harapanku itu sekadar harapan cuma.

Suka aku katakan bahawa hadirnya bagai pelangi petang, walau tak bercahya, namun berseri dan pernah mewarnai hidup ini. Malah hingga kini warna pelangi lakaran dirinya masih bersinar di hatiku. Tiap ilmu dan nasihat titipannya dahulu masih segar diingatan. Seakan-akan masih berputar dibenakku seakan pita rakaman sebuah sikuel panjang. Masih terbayang-bayang.

Dirinya banyak mengajar aku tentang kehidupan. Membawa aku ke demensi yang lebih baik. Mengajak aku supaya mencintai DIA melebihi cinta antara kami. Malah, mimpi kala aku berdampingan dengannya menuju masjid masih segar diingatan. Saat itu waktu Zohor tiba, lalu dalam keramaian dia memanggil diriku. Mengajakku untuk bersolat jemaah di Masjid. Dan kami beriringan menaiki tangga masjid. 

Itulah mimpi saat aku meminta petunjuk sebelum dia melamar diriku. Kerana ketika itu, aku sudah mula merasakan ‘sesuatu’ di hatiku. Lalu aku bertanya pada ALLAH. Dan mungkin itulah jawapan yang ALLAH sediakan untukku. Dan yang pasti lamarannya bukan sekadar lamaran untuk menjadi pasangan kekasih, namun lamarannya mahu aku menjadi isterinya yang sah.

Sungguh, dia membawa aku ke arah kebaikan. Bermula saat perkenalannya dia berani menegur cara pemakaianku. Yang ketika itu tidak menutup aurat dengan sempurna. Malah dia juga bertanya kepada diriku, bilakah aku akan mengubah cara berpakaian mengikut syariat Islam. Ku jawab, aku memang berniat mahu berubah, kubilang aku mahu berubah sedikit demi sedikit. 

Dia tidak memaksa, namun menjelaskan bahawa kadang kala kita perlu tegas dan memaksa diri. Kerana akhirnya, kita sendiri akan terbiasa. Jangan bertangguh dalam merubah ke arah kebaikan, gusar nanti hidayah itu akan berlalu pergi. Lebih ditakuti, andai maut menjemput diri. Saat mengenang semua itu kembali, membuatkan aku sering kali terdiam dan termenung sambil mensyukuri takdir yang di atur Illahi. 

Tanpa sedar, hati ini sering merindu nasihatnya, sering terkenang segala kebaiknya, apa yang pasti hanya ALLAH yang mampu membalas segala kebaikan yang pernah dihulur buat diriku. Hadirnya pernah menjadi penguat buat diriku. Pernah menjadi tulang belakangku, serta pernah menjadi tempat aku merujuk sesuatu. Benar. Dirinya seakan-akan melaksanakan tanggungjawab zahir sebagai suami. Tapi sayang, tidak pula kami sempat menikah saat itu. Sungguh, dia menepati ciri-ciri suami mithali dambaan seribu wanita.
Namun, takdir telah terlukis, bahawa kisah kami tidak seindah kisah cinta pasangan lain. Mungkin benar, aku bukan yang terbaik untuk dirinya. Dan mungkin aku memang tak layak untuk lelaki sebaiknya. 

Alhamdulillah, kini aku menuju jalan perubahan. Semoga ALLAH menetapkan hatiku agar istiqamah selalu. Awal muharram 1433 yang lepas, aku menyertai sahabat-sahabatku, ke Masjid Putra, Putrajaya. Kami memilih mahu menyambut tahun baru di sana. Alhamdulillah. Sayu hatiku mengenangkan saat itu. Saat membaca doa akhir tahun, aku menangis semahunya. Menyesali dosa-dosa silamku. Sungguh. Ketika itu aku merasakan penyesalan yang tidak bertepi. Menangisi kebodohanku. Menyesali perbuatanku dan menangisi ‘kegelapan’ ciptaanku sendiri. Aku dulu hanyut. Mengabaikan tanggungjawabku padaNya. Sungguh, saat itu aku merasa aku hina. Merasa sungguh malu pada ALLAH. Ya ALLAH, semoga Kau ampuni segala dosa-dosaku. 

Malam itu aku khabarkan padanya, aku bertekad mahu berhijrah. Itu azam utamaku. Dan itu yang kumahu. Dia ternyata gembira. Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH. Kerana menggerakkan hatiku supaya berhijrah. Sungguh aku telah lama menyimpan hajat mahu memperbaiki diri, mahu mempelokkan peribadi dan penampilanku. Juga mahu memperbaiki pertuturanku.

Saat itu, aku bersujud syukur, kerana ALLAH telah memaqbulkan permintaanku. Aku pernah berdoa suatu ketika dulu, saat aku praktikal dulu. Aku berdoa mahu bekerja disamping orang-orang yang baik akhlaknya. Yang akan menggalakkan aku ke arah kebaikan. Dan bekerja di tempat yang akan memudahkan aku menyambung pengajian. Ternyata doaku dimaqbulkan. Terima kasih Ya ALLAH. Alhamdulillah.

Bermula saat itu perlahan-lahan aku mencari buku-buku agama. Buku-buku motivasi, dan merajinkan diri membuka dan membaca mushaf serta memahami tafsirannya. Aku mula mengatur langkah mendekati ALLAH. Hatiku cair untuk mencintaiNya. Ya, aku harus lebih mencintaiNya. Malah meletakkan kecintaan itu di paras tertinggi dalam hidupku. 
Perlahan-lahan aku berhijrah. Aku mula berazam memakai tudung labuh. Dan mula mahu memakai sarung kaki. Alhamdulillah. Kini, aku sedang belajar dan mula mengamalkannya. Namun sayang, dia tidak sempat mengetahui perkembangan diriku yang ada hari ini. Sebelum ini aku tidak menyatakan dengan jelas tentang niatku mahu berubah dan berhijrah padanya. Bahkan pada Ibuku sendiri tidak kukhabarkan tentang niat hatiku. Aku mahu menyatakan sekadar dengan perubahanku, tanpa perlu mengungkapkan apa pun.

Alhamdulillah aku semakin selesa, biarpun melalui hari-hari yang bahagia tanpa si dia lagi, aku terus kuat. Bersama doa dan sokongan dari Ibuku, keluargaku malah teman-teman rapatku aku berupaya melaluinya dengan kuat. Dan lebih lagi kerana DIA mengizinkan aku sekuat dan setabah begini. Apa yang penting sekarang, aku perlu berusaha terus memperbaiki diriku. Terus dan terus tanpa henti. Soal jodoh, kubiarkan nanti. Kerana aku yakin, sampai suatu saat pasti jodohku kan tiba jua. Untuk waktu terdekat ini, biarlah dulu kurawat hatiku. Semoga Kau permudahkannya Ya ALLAH. Dan semoga kau perkenankan segala permintaanku. AMEEN YA ALLAH.

15 June 2012

4 comments:

  1. Replies
    1. :)Don't be sad dear.. It's just a story telling.. :)

      Delete
  2. You're so tough.. I'm so proud of you kakak.. Hmmm...

    ReplyDelete
  3. :) Alhamdulillah, Allah pinjamkan kekuatan. Sbnarnye dlm hidup ni kita kne selalu dekat dgn DIA. Cintakan DIA melebihi apa sje yg kita ada dlm dunia nie.. Ingatlah, semua yg kita ada pinjaman cuma. :)

    ReplyDelete