Friday 7 September 2012

Ruang Muhasabah Diri

Assalamualaikum semua!

Diam-diam kita bakal tinggalkan 2012 dalam kurang 4 bulan lagi. Sekejap je rupa-rupanya masa berlalu. Dan usia juga semakin bertambah. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita masih diberi peluang untuk terus bernafas dan berusaha menjadi seorang hamba yang sangat taat kepada Allah.

Alhamdulillah perjalanan hidup kita memang sudah dirancang dengan ALLAH s.w.t. dengan baik sekali. Walau apa saja ujian atau nikmat yang datang, itu semua adalah perancanganNya yang terbaik buat kita. Kadang-kadang memang kita rasa kecewa dan sedih bila ditimpa perkara yang menyedihkan, tapi di sebalik itu semua tersembunyi hikmah yang mungkin kita sendiri tidak sedar. 

Dan kadang-kadang juga bila kita merasa gembira, kita rasakan yang kegembiraan itu adalah perkara yang sangat membahagiakan. Tapi kita juga mungkin tak sedar bahawa kegembiraan yang kita sangka bahagia itu sebenarnya sedang 'membunuh' jiwa dan meruntuhkan akhlak kita. Hmm begitulah. Itulah rahsia ALLAH yang tak mampu kita atau sesiapa pun di dalam dunia ini mampu membacanya. Walau apa sekalipun, jangan jadikannya sebagai alasan untuk kita berputus asa. Kita perlu tenang dan berusaha bersungguh-sungguh, berdoa kepadaNya dan bertawakkal kepada ALLAH S.W.T..

Di sini saya ingin kongsikan sedikit pengalaman saya sendiri. :) Alhamdulillah kehidupan saya semakin baik, dan saya merasakan bahawa saya semakin bahagia dari hari ke hari. Benarlah orang kata, yang penting adalah kita bersangka baik kepada ALLAH. Ini menunjukkan bahawa kita perlu positif dan mengajar diri kita supaya berfikir yang baik-baik kepada ALLAH dan orang lain. InsyaALLAh dengan izinNya, kita boleh mengubah diri kita. Saya banyak membaca tulisan Prof. Dr Muhaya, yang mana bagi saya beliau banyak mengingatkan kepada pembaca dan pendengar supaya  menitik beratkan penjagaan hubungan baik dengan ALLAH, sesama manusia dan persekitaran.

Saya cukup tertarik kepada pendekatan beliau setiap kali berbicara mengenai kehidupan. Bahasa yang digunakan cukup ringkas dan berkesan. Malah pendekatan yang dipraktikkannya sangat mudah untuk difahami. Dan alhamdulillah saya semakin matang dalam melihat sisi kehidupan saya. Jika dahulu saya seorang yang suka bersungut dan mengeluh sekarang sudah berkurangan. Memang benar, siapa diri kita adalah daripada apa yang kita fikirkan, apa yang kita lakukan, apa yang kita sebutkan dan dengan siapa kita memilih untuk dijadikan teman/rakan atau kenalan. Jadi bagi mengubah hidup kita, kita perlu mengubah cara pemikiran kita terlebih dahulu.

Alhamdulillah saya semakin yakin dengan kemampuan diri sendiri apabila selalu berfikiran positif dan bersangka baik dengan ALLAH. Kerana saya percaya tiap sesuatu itu pasti akan ada jalannya. :) Jadi marilah kita bersama-sama memulakan kehidupan kita dengan senyuman dan berfikiran positif. InsyaALLAh kita akan dapat melihat lebih banyak 'keindahan' yang terbentang di hadapan kita. InsyaALLAH. :)

Nota kaki: Jangan bertangguh dalam membuat kebaikan, takut nanti tidak kesampaian. :)




No comments:

Post a Comment